Maklumat Penyakit Perosak : (ii) Bintik Cecincin Virus (Papaya Ringspot Virus)

Maklumat Umum

Penyakit ini disebabkan oleh Papaya Ringspot Virus (PRSV). Penyakit ini adalah penyakit yang paling berbahaya dan menyerang semua bahagian pokok betik. Ia merebak melalui vektor iaitu kutu daun dan juga secara mekanikal. Vektor yang membawa virus ini ialah Aphis gossypii dan Aphis craccivora. Pembawaan virus dalam vektor ialah secara ‘non persistent’.




Simptom

Di antara tanda-tanda penyakit ini termasuklah pokok kelihatan bantut, pucuk berwarna kuning dan daun tua berkerekot serta bertompok hijau tua dan muda. Tanda cincin kelihatan pada buah dan batang pokok. Pada bahagian tangkai daun terdapat jaluran hijau seperti lecuh basah (watersoaked).




Kawalan Perosak

Cara kawalan yang paling berkesan ialah dengan menebang atau mencabut semua pokok berpenyakit serta merta. Tunggul yang tinggal disapu dengan racun rumpai yang sesuai. Batang-batang yang dipotong disembur dengan racun rumpai yang sesuai untuk mengeringkannya dengan cepat. Vektor virus dikawal dengan racun perosak seperti malathion. Buah, anak benih dan bahagian-bahagian pokok yang berpenyakit dilarang dibawa keluar ke kawasan lain. Semua tanaman jenis cucurbits yang terdapat di kawasan penyakit ini juga hendaklah dimusnahkan.