Sub Sektor |
: Tanaman |
Kumpulan Komoditi |
: Herba |
Komoditi |
: Misai Kucing |
Famili |
: Lamiaceae |
Nama Tempatan |
: Misai Kucing |
PENGENALAN
Misai kucing dipercayai berasal dari negara Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia, Filipina termasuk kepulauan Melayu seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei. Tanaman ini banyak terdapat di kawasan lapang seperti di tepi jalan dan kawasan tanah terbiar sama ada kawasan tanah rendah atau tinggi. Selain tumbuh secara liar, misai kucing juga ditanam di kawasan rumah sebagai tanaman hiasan kerana bunganya yang menarik. Tanaman ini telah dikenal pasti sebagai salah satu jenis tanaman herba yang berpotensi untuk ditanam seeara komersial memandangkan ia mudah diusahakan. Tanaman ini juga telah terbukti berkesan dari segi kesihatan dalam merawat pelbagai jenis penyakit khususnya penyakit berkaitan dengan ginjal.
CIRI-CIRI MORFOLOGI
Herba ini cepat tumbuh dan ketinggiannya boleh mencapai sehingga 1.5 m (Gambar 1). Batangnya bersegi empat, berbulu pendek atau gondol, berwarna kemerahan, tumbuh tegak dan bercabangcabang. Daunnya tersusun dalam pasangan yang bertentangan, licin, berwarna hijau, berbentuk tirus di hujung dan tepi daun berjeriji. Tangkai daun pendek, lebih kurang 0.3 cm panjang dan berwarna ungu-kemerahan (Gambar 2).
Nama misai kucing diberi berdasarkan ciri bunga. Ciri uniknya ialah bunga mempunyai filamen yang panjang menyerupai misai kucing. Di negara ini, dua varieti telah dikenal pasti berdasarkan warna bunga iaitu bunga putih dan bunga ungu tua. Varieti bunga putih dikenali sebagai MOS 1 manakala varieti warna ungu dikenali sebagai MOS 2 (Gambar 3). Terdapat perbezaan dari segi pertumbuhan antara dua varieti ini. MOS 1 mempunyai kanopi lebih besar, tinggi dan pertumbuhan yang lebih subur. MOS 1 juga mempunyai kadar pertumbuhan ranting lebih banyak dan cepat berbanding dengan MOS 2.
KHASIAT DAN KEGUNAAN
Di Malaysia, tanaman ini telah digunakan sejak beratus-ratus tahun dahulu oleh pengamal perubatan tradisional untuk merawat penyakit berkaitan pundi kencing (seperti batu karang) dan buah pinggang. Kandungan ortosifonim dan garam kalium (yang terdapat pada daunnya), merupakan komponen utama yang membantu larutnya asid urik, fosfat, dan oksalat dalam tubuh manusia, terutama dalam hempedu ataupun ginjal sehingga dapat mencegah terjadinya endapan batu ginjal. Kandungan saponin dan tanin pada daun juga boleh mengubati penyakit keputihan yang dialami oleh sesetengah wanita.