PENGENALAN
Hempedu bumi adalah antara tanaman herba ubatan yang telah lama digunakan oleh penduduk negara China, India dan Indonesia untuk merawat pelbagai jenis penyakit, dan banyak terdapat di Asia Tropika. Sehingga kini, herba ini mempunyai permintaan global dalam bidang perubatan dan farmaseutikal kerana kandungan tiga sebatian bioaktif utama, iaitu androgapholide, neo-andrographolide dan deo-andrographolide yang boleh diguna untuk merawat kanser, penyakit hati, diabetis, tekanan darah tinggi, malaria dan darah beku. Penanaman berskala besar di Malaysia digalakkan untuk memenuhi permintaan tempatan dan antarabangsa.
Hempedu bumi dipercayai berasal dari negara Sri Lanka, India, China dan Asia Tenggara, dan kini telah ditanam secara meluas di seluruh Asia Selatan. Tumbuhan ini didapati tersebar di pelbagai habitat seperti di kawasan lapangan, di bawah lindungan dan di lereng bukit.
MORFOLOGI TUMBUHAN
Hempedu bumi adalah sejenis tumbuhan herba renek semusim dengan jangkamasa pusingan hidup berbeza-beza mengikut keadaan iklim persekitaran. Jangkamasa pokok mula berbunga dan masa pembungaannya sangat dipengaruhi oleh suhu dan pengurusan tanaman.
Morfologi tumbuhan ini diperincikan mengikut daun, batang, dahan, akar, bunga, lengai benih dan biji benih (Rajah 1).
KHASIAT DAN KEGUNAAN
Bahagian aerial (atas tanah) dan akar digunakan dengan meluas dalam perubatan tradisional di China, India, Thailand dan negara Asia Tenggara yang lain. Tumbuhan ini digunakan untuk merawat demam, mengurangkan bengkak (anti radang), melawaskan pembuangan air besar, cirit-birit, darah tinggi, kencing manis, rawatan kanser dan juga menambahkan selera makan.
Dewasa kini, hempedu bumi mempunyai permintaan global dalam bidang perubatan dan farmaseutikal kerana kandungan fitokimia dan sebatian bioaktif yang tinggi. Hempedu bumi mengandungi pelbagai sebatian bioaktif yang boleh diekstrak dari bahagian atas tanah (aerial) dan akar. Terdapat pelbagai aktiviti biologi dalam hempedu bumi seperti anti-mikrobial, anti-malarial, anti-protozoa, anti-inflamatori, anti-oksidan, anti-diabetik, anti-thrombotik dan anti-hipertensi.
Herba ini kaya dengan 3 sebatian utama iaitu diterpenoid, flavonoid dan polyphenol. Andrographolide adalah salah satu sebatian bioaktif utama di bawah diterpenoid lazim dijumpai dalam kuantiti yang banyak. Selain itu, neo-andrographolide dan deo-andrographolide juga diguna untuk merawat kanser, penyakit hati, diabetis, dan tekanan darah tinggi (Rajah 9). Jadual 1 menerangkan kegunaan perubatan bagi setiap bahagian pokok hempedu bumi.