moa agf MyAgro
Laman Utama

   Maklumat Komoditi


Maklumat Komoditi : Nanas



Sub Sektor : Tanaman
Kumpulan Komoditi : Buah-buahan
Komoditi : Nanas
Famili :
Nama Tempatan :

Nanas (Ananas comosus) adalah sejenis tanaman tropika dari keluarga Bromeliaceae yang dipercayai berasal dari Bahagian Timur Amerika Selatan. Ia diperkenalkan di Tanah Melayu dalam abad ke 16 oleh orang-orang Portugis. Mulai 1921 selaras dengan perkembangan tanaman getah, nanas seterusnya ditanam di Singapura, Johor dan Selangor sebagai tanaman kontan. Tanaman nanas terus berkembang dan diusahakan secara perladangan di kawasan tanah gambut di Johor. Nanas merupakan  tumbuhan yang rendah saka baka herba (herbaceous perennial) dengan 30 atau lebih daun yang panjang, tajam mengelilingi batang yang tebal. Buah nanas tergolong dalam buah bukan klimeterik iaitu hanya masak di pokok.

Di Malaysia, terdapat tiga jenis utama yang ditanam iaitu nanas Sarawak, Moris dan Josapine (pasaran tempatan) bagi dimakan segar manakala nanas Gandol bagi dikaleng. Buah nanas boleh didapati hampir sepanjang tahun kerana tanaman nanas tidak bermusim. Buah nanas boleh dimakan mentah dan  dikalengkan serta diproses untuk dijadikan jam dan air minuman ringan.

 

Status Industri Nanas di Malaysia

Penanaman nanas di Malaysia diusahakan secara tanaman tunggal atau sebagai selingan bersama tanaman kelapa, getah dan kelapa sawit. Biasanya ia ditanam secara tunggal oleh pihak estet dan secara selingan oleh pekebun kecil. Kebanyakan nanas yang dieksport ialah daripada jenis  kaleng seperti nanas Gandol. Kawasan tanaman nanas juga banyak tertumpu kepada kawasan tanah gambut di Negeri Johor dan Selangor.

Nanas mempunyai nilai pemakanan yang baik kerana ia kaya dengan vitamin A, B1, B2 dan C. Selain vitamin ia juga mengandungi protein, karbohidrat, lemak, galian dan sejenis enzim pembantu proses penghadaman iaitu bromelin.

Produk –produk Daripada Nanas

a) Makan Segar

 Buah nanas yang masak dimakan segar, dibuat salad buah atau rojak dan dicecah dengan perasa sos atau sambal

 b) Nanas Kaleng 

Buah nanas diawet dan dikaleng untuk tujuan eksport dan penyimpanan lama dalam berbagai bentuk seperti potongan membulat, potongan dadu, bentuk hancur dan ketulan. Buah nanas juga dikalengkan sebagai koktail dengan buah-buahan lain.

c) Buah diproses

Buah-buah nanas boleh juga diproses untuk menghasilkan jem, jus, kordial, cuka dan minuman keras.

d) Masakan Nanas

Buah nanas matang boleh dimasak untuk sajian pajeri nanas, kari, masak lemak, kerabu, acar dan juga kuih-muih seperti tat, pai, kek dan puding.

e) Lain-lain Kegunaan

Di Filipina, daun nanas digunakan untuk membuat pakaian. Bunga nanas digunakan sebagai hiasan dan upacara keagamaan. Sisa-sisa buangan nanas selepas diproses digunakan untuk makanan haiwan. Buah nanas mengandungai enzim bromelin yang digunakan untuk membantu proses penghadaman dan pencernaan makanan.

 

 

Bil. Kalendar
Bil. Kalkulator
Tiada Rekod Ditemui
Tiada Rekod Ditemui

Pengundi